Oleh: Puan Ainon Mohd
Dari ABS
Semalam, Rabu 28 Ogos 2013, ABS Chapter Utara mengadakan "Sesi Minum Kopi ABS" dengan usahawan pakaian Tuan Adnan A Aziz.
Chairman ABS Chapter Utara, Puan Zuraida Noordin bermurah hati
mengongsikan catatan isi kandungan penting dalam perkongsian Tuan Adnan
dengan peserta:
---
"Pada awal-awal penjualan koleksi pakaian muslimah HD dijalankan secara
online, kami mengambil gambar baju yang disangkutkan menggunakan
penyangkut baju. Kemudian, kami bertukar strategi mengambil gambar baju
yang dipakaikan pada patung. Jualan kami telah meningkat daripada yang
sebelumnya. Tidak lama selepas itu, kami telah menukar model daripada
patung kepada orang sebenar. Jualan kami meningkat dengan lebih tinggi
lagi. Kami berpendapat, orang suka untuk melihat baju muslimah HD
digayakan oleh seorang model wanita yang berwajah cantik. Dari hasil
paparan gambar begitu, pelanggan lebih mudah untuk membuat keputusan
memilih dan seterusnya membeli produk kami."
"Berhati-hati apabila membuat keputusan untuk melakukan tempahan produk
di China. Ini kerana, Kami pernah terkena apabila baju yang kami tempah,
singkat! Mereka tidak percaya kepada ukuran yang telah kami berikan
kepada mereka. Mereka mengatakan bahawa, ukuran yang kami berikan adalah
sebuah ukuran baju tidur!"
"Kami berusaha selama lebih kurang dua tahun untuk membina reputasi
kepada supplier/usahawan berbangsa Cina untuk berurusan dengan mereka.
Bangsa Cina berpandangan skeptikal dengan peniaga Melayu kerana, mereka
sudah banyak kali terkena dengan peniaga Melayu yang tidak konsisten di
dalam perniagaan mereka. Mereka tidak membayar hutang niaga secara
tetap. Malah ada yang lari daripada hutang, telefon juga tidak
berangkat. Kepercayaan adalah kunci utama untuk menjalinkan kerjasama
dengan peniaga Cina."
"Apabila menjalankan perniagaan secara online, website adalah perkara
yang paling penting untuk ada. Tidak cukup dengan hanya dengan ada
FanPage di Facebook. Daripada website kita membina kredibiliti. Facebook
umpama Billboard manakala website ibarat kedai kita."